Your Thoughts


Sunday, April 27, 2008

Its My Life

Bunyi-bunyi cengkerik yang menyebalkan membuatku bangun dari tidur. Entah berapa lama sudah aku melelapkan mataku ini. Empat jam? Lima jam? Dua puluh empat jam? Entahlah, yang nyata aku memang ‘fail’ dalam hitung menghitung. Matematik merupakan satu subjek yang sukar untuk ku fahami. Sedangkan umurku sendiri pun tidak ku ketahui.Gara-gara tidak pandai mengiralah ni.

Dengan rasa yang malas, aku memaksa diriku keluar dari katil. Ku lihat isteri-isteri dan anak-anakku masih lagi lena dibuai mimpi. Ya, aku memang mempunyai banyak isteri kerana aku memang terkenal sebagai seorang yang playboy. Ada yang ku kahwini secara halal, ada juga yang ku kahwini secara haram dan ada juga yang tidak ku kahwini langsung!! Aku berasa bangga dengan status ku ini. Bahkan, ramai rakan-rakanku yang kagum denganku. Tidak kurang juga yang berasa iri hati denganku. Pelbagai cacian dan makian telah dilontarkan kepadaku. Bapa ayamlah, buaya daratlah, kucing garonglah, itulah, inilah... Namun aku menerimanya dengan hati yang terbuka.

Keadaan di luar masih gelap gelita. Suasana begitu sunyi, hanya bunyi-bunyi cengkerik dan hilai ketawa pontianak yang kedengaran. Fajar sadiq, masih belum lagi kelihatan. Mungkin dalam beberapa minit saja lagi azan subuh akan berkumandang. Tidak lama selepas itu berkumandanglah azan subuh sepertimana yang telah ku sangkakan sebentar tadi. Setelah habis azan subuh aku pun memulakan tugas muliaku.

“Hoi, bangun!!!!!!”teriakku. Aku berteriak berulang-ulang kali sehingga suaraku menjadi serak.”Tepaksa makan Fishermen’s friend ni,”kataku dalam hati secara spontan.

Sungguhpun suaraku menjadi serak, namun usahaku membuahkan hasil. Hampir kesemua penghuni-penghuni rumah-rumah yang berdekatan terbangun hasil dari jeritan batinku. Beginilah tugas ku sehari-hari, menjerit dan memekik supaya orang terbangun dari tidur yang melalaikan. Aku bagaikan alarm clock bagi penduduk kampung ini. Setakat ini belum ada yang orang yang mengadu kepada ketua kampung walaupun kadangkala suaraku sedikit sumbang seperti William Hung. Kalau ada Simon Cowell di kampung ini, sudah pasti kerjayaku akan terjejas.

Hari pun beransur-ansur siang. Pergi bersiar-siar di waktu pagi memang sudah menjadi rutin ku sehari-hari. Dalam perjalananku aku melintas di hadapan rumah Pak Gombrong. Ku lihat ramai orang bertandang ke rumahnya. Sibuk dan bising seperti suasana di pasar ikan. Agaknya ada majlis yang akan berlangsung. Tetapi mengapa aku tidak dijemput? Ah, tak mengapalah asalkan Pak Gombrong sekeluarga bahagia. Di luar, kelihatan makcik-makcik sedang memasak sesuatu. Nampaknya mereka sedang mengadakan persidangan tidak rasmi a.k.a megumpat. Perbualan mereka memang rancak dan kadangkala sedikit aggresif mengalahkan perdebatan antara Barrack Obama dan Hillary Clinton. Akhirnya aku terfikir, mungkin ini masanya untuk megetahui majlis apa yang akan berlangsung dari makcik-makcik tersebut.

Sedang aku bergerak menuju sekumpulan makcik tersebut, tiba-tiba aku terserempak dengan Elicia. Wow, keseksian tubuhnya membuatku gemuruh! Aku melemparkan senyuman kepadanya dan dia membalas senyumanku. Lututku terketar-ketar setelah melihat senyuman manisnya yang mungkin boleh membuatkan seseorang itu menghidap kencing manis. Tidak mengapa, suatu hari nanti, aku pasti tubuhnya akan menjadi milikku.

Selepas Elicia hilang dari pandanganku, aku pun meneruskan perjalananku. Tanpa makcik-makcik itu sedari, aku memasang telinga sambil berpura-pura mencari cacing di tanah. Tunggu punya tunggu, usahaku tiada hasilnya. Tiada apa yang makcik-makcik tersebut perbualkan melainkan umpat-mengumpat semata-mata.

“Hoi, Jack behapa kau?!”sergah Mat yang hampir-hampir membuatku pitam.

“Eh kau ani Mat membari tekajut saja!”

“Hahaha, sori bah. Anubah ada kau kana jamput arah majlis doa selamat Pak Gombrong ani kah?”

“Oh majlis doa selamat rupanya. Indada ku kana jamput nyamu. Apa saja majlis di kampung ani inda pernah ku kana jamput.”

Mat ketawa setelah mendengar omonganku. Aku pun turut ketawa. Makcik-makcik bersebelahan dengan kami pun turut ketawa. Tetapi bukan kerana mendengar omonganku. Entah apakah yang mereka ketawakan. Biarlah, asal mereka bahagia. Sedang aku dan Mat rancak berbual-bual, tiba-tiba Dollah sahabat baikku datang menghampiri kami dengan air muka yang gelisah.

“Mengapa kau Dollah? Macam gelisah saja?”aku bertanya.

“Ingau ati ku nyamu. Ku dangar Pak Gombrong mencari kitani betiga.” jawab Dollah.

“Kan dijamputnya kitani kali?” sampuk Mat.

“Bukan.. Kan disembalihnya kitani!!”

Mendengar kata-kata tersebut aku menjadi seram sejuk. Mungkinkah ini balasanku kerana telah melakukan banyak onar di kampung ini. Oh, tuhan ampunilah dosa-dosaku. Aku tidak mau mati sebelum tubuh Elicia menjadi milikku. Tiba-tiba rasa bersalah menyelubungi diriku setelah mengimbas kembali perlakuan sumbang yang telah ku amalkan. Adakah taubatku akan diterima di saat-saat genting ini?

Aku, Dollah dan Mat berasa panik sehingga tidak mampu untuk berfikir apa-apa.

“Awang-awang sekalian tu nah si Jack, si Dollah sama si Mat. Siapa dapat menangkap durang atu, akan ku bagi ganjaran!!” teriak Pak Gombrong kepada sekumpulan kanak-kanak dan pemuda-pemuda lelaki yang sedang berkumpul di belakang rumah. Mereka menoleh ke arah kami dan memberi senyuman yang sinis. Melihat situasi buruk itu aku mengambil langkah seribu. Kemudian diikuti dengan Dollah dan Mat yang berlari di belakangku.

“Nah lari tia!! Tangkap!! Inda tia dapat merasa dagingnya karang!!” teriak Pak Gombrong dengan nada yang ganas dan kejam. Jeritannya itu mengingatkanku kepada vokal Chester Bennington. Tidak bukan Chester Bennigton... Ia lebih mirip seperti vokal Corey Taylor.

Penduduk kampung ini sudah gila, tidak waras, hilang akal, putus wayar, setengah tiang, mabuk laut dan lain-lain perkataan yang semaksud dengannya. Manusia jenis apakah mereka ini yang sanggup menyembelih dan meratap daging kami ini? Ini lebih kejam dari segala keganasan yang berlaku di merata dunia ini. Ah, aku tidak akan mengalah! Aku tidak akan menyerahkan tubuhku kepada mereka dengan sewenang-wenangnya. Lari sejauh-jauhnya dan kemudian bersembunyi dari makhluk-makhluk yang tidak berhati perut ini sebelum mengambil tindakan yang seterusnya iaitu membalas dendam. Ya, itu yang akan aku lakukan meskipun itu akan mengambil masa yang agak lama. Yang penting aku bahagia.

“Jack, help me brotha!!”pekik Dollah. Aku terhenti dan menoleh ke belakang setelah mendengar jeritan Inggeris Dollah. Akhirnya Dollah tertangkap. Dia berkali-kali menjerit meminta tolong, tetapi aku tidak mampu berbuat apa-apa. Semangatku kian lemah, namun aku teruskan larian pecutku. Dollah selamat tinggal sahabatku, akan ku balas kematian mu suatu hari nanti.

Tanpa ku sedari air mataku mengalir. Bukan kerana Dollah, tetapi kerana ketakutan yang amat. Rasa ketakutan melampau yang menyelubungi diriku membuatku gagal untuk mengawal pundi-pundi kencingku dan akhirnya aku terkencing. Sambil berlari sambil itu juga aku menitiskan air mata. Dan juga air kencing. Aku menoleh ke belakang buat kali terakhir. Tiada lagi susuk tubuh Mat kelihatan. Mungkin dia juga tumpas. Tiba-tiba...

“Nah, dapat jua ku tangkap kau akhirnya!!”

“Hoi lapaskan aku!! Brengsek kamu!!” aku mencaci pemuda yang menangkap ku. Namun dia tidak memperdulikanku seolah-olah dia tidak faham dengan bahasaku. Waktu ajal kian menghampiriku. Dendam yang kuimpikan, ajal pula yang ku terima. Beginilah tamatnya hidupku sebagai jagoan dan bapa ayam. Kampung ini seperti kacang lupakan kulit. Mereka sudah lupa dengan sumbanganku menjadi ‘alarm clock’ untuk kampung ini. Kini mereka membiarkan aku mati katak tanpa memberi sebarang Pingat Jasa Kebaktian terlebih dahulu.

Mukaku menjadi bertambah pucat setelah melihat kepala Dollah dan Mat yang bercerai dari badan mereka. Ditambah lagi dengan darah mereka yang berbau hanyir yang hampir-hampir membuatku muntah. Kalau boleh, sebelum nafasku berakhir ingin aku berjumpa dengan isteri-isteri dan anak-anakku. Namun apa kan daya, pemuda banjingan ini tidak mahu melepaskanku. Perutku menjadi kecut setelah mendengar sebilah pemarang yang sedang diasah. Si pengasah kemudian mengangkat pemarang tersebut dan menghampiriku. Pemarang itu diletakkan betul-betul di atas leherku. Dengan kalimah bismillah, maka berakhirlah riwayatku sebagai seekor AYAM JANTAN dan BAPA AYAM. Pada malam itu penduduk kampung menjamah daging kami dengan hati yang penuh sukacita. Kurang asam punya manusia. Cubatah makan kerbau, lembu atau kambing. Ani spesis kami(ayam) jua kana makan.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More