Your Thoughts


Friday, October 3, 2008

We will meet again

Aku sentiasa menanti akan kehadirannya. Dia hanya datang menemuiku setahun sekali. Ketibaannya membawa seribu erti kepadaku. Kegembiraanku sukar diluahkan dengan kata-kata apabila bertemu dengannya.

Dengan kemunculannya, aku belajar erti sabar. Aku belajar erti bersyukur. Aku belajar erti keikhlasan. Aku belajar makna ketabahan. Aku belajar makna kesucian. Dia mengajar aku apa itu taqwa. Dia mengajar aku apa itu kerahmatan. Dan dia mengajar aku apa itu keredhaan.

Pada hari pertama kehadirannya, aku akan menahan lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar sadiq hingga matahari terbenam. Menahan lapar dan dahaga bukanlah satu seksaan bagiku, malah, ia merupakan satu nikmat. Satu nikmat yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Sebaik sahaja matahari terbenam dan azan maghrib berkumandang, aku dan keluargaku akan berkumpul untuk berbuka. Maka dengan secara tidak langsung, kehadirannya membuatkan hubungan kekeluargaan bertambah erat.

Dengan kehadirannya ini juga, muslimin dan muslimat berlumba-lumba mencari ganjaran sampingan iaitu bersembahyang terawih dan bertedarus pada malam hari.

Pada 10 malam terakhir sebelum dia pergi meninggalkan aku, ada terdapat satu malam yang penuh keistimewaan. Satu malam yang dinamakan malam Lailatul Qadar. Alangkah bertuahnya bagi muslimin dan muslimat yang beribadat pada 10 malam terakhir tersebut.

Dan kini dia telah pergi meninggalkan aku. Aku perlu menanti setahun lagi untuk bertemu dengannya kembali. "Dia" yang kusebutkan ini bernama "Ramadhan". Bulan yang penuh kerahmatan. Sesungguhnya kami, muslimin dan muslimat akan merinduimu setelah kau pergi meninggalkan kami. Kepergiannya digantikan pula dengan kemunculan rakannya yang bernama "Syawal", dimana muslimin dan muslimat menyambut kejayaan mereka setelah berpuasa selama sebulan semasa kehadiran "Ramadhan." Selamat tinggal ku ucapkan kepada Ramadhan dan selamat datang ku ucapkan kepada Syawal. Semoga kamu semua bergembira semasa hari raya ani, dimana saja kamu berada, baik di Brunei atau di negeri luar=)

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More